UCAPAN PENGETUA SMK CHERAS
بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, laman sesawang rasmi SMK Cheras, Kuala Lumpur di www.smkcheras.edu.my telah berjaya diwujudkan dan didaftarkan dengan Google sebagai salah satu medium rasmi penyampaian maklumat dan komunikasi digital sekolah.
Dalam usaha memperkukuh pendigitalan pengurusan sekolah, SMK Cheras turut memperkenalkan DiMaS-C, sebagai satu inisiatif digital yang menghimpunkan maklumat, data dan sumber berkaitan pengurusan serta perkembangan sekolah secara lebih sistematik, tersusun dan mudah dicapai.
Kehadiran DiMaS-C diharapkan dapat membantu memperkukuh pengurusan sekolah berasaskan data, memudahkan capaian maklumat serta menyokong warga sekolah dalam membuat perancangan, pemantauan dan tindakan yang lebih cekap dan berkesan.
Dalam era digital yang berkembang pesat ini, SMK Cheras menyambut baik aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membawa pendidikan negara melangkah lebih jauh melalui pemanfaatan teknologi, inovasi dan pendigitalan dalam pendidikan.
Seiring dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), SMK Cheras akan terus berusaha memanfaatkan teknologi dan data bagi meningkatkan kualiti pengurusan sekolah, memperkasa proses pembelajaran serta melonjakkan kemenjadian murid.
“Kita semua mempunyai matlamat yang sama, iaitu memastikan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti dapat disampaikan kepada rakyat. Agenda pendidikan yang dirancang memerlukan iltizam, usaha dan kerja keras untuk dilaksanakan demi melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan beretika.”
Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Team Website SMK Cheras, guru-guru, PIBG dan KSIB SMK Cheras atas komitmen, kerjasama dan usaha yang telah dicurahkan sehingga laman sesawang rasmi sekolah ini berjaya direalisasikan.
Penghargaan juga diberikan kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan dan pengoperasian DiMaS-C, yang diharapkan menjadi salah satu pemangkin kepada pengurusan sekolah yang lebih cekap, pantas, sistematik dan berasaskan data.
Saya berharap agar www.smkcheras.edu.my, DiMaS-C dan Portal Pembelajaran Digital dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh warga SMK Cheras sebagai wadah penyampaian maklumat, perkongsian aktiviti dan pencapaian sekolah serta sebagai medium yang menyokong peningkatan kualiti pendidikan.
Semoga segala usaha ini menjadi sebahagian daripada langkah berterusan kita untuk membina sebuah sekolah yang dinamik, berdaya saing, celik digital dan berorientasikan kemenjadian murid, selaras dengan aspirasi pendidikan negara.
Sekian, terima kasih.
SHAM BIN ABD RAHMAN
Pengetua
SMK Cheras, Kuala Lumpur